BUKAN mudah sebenarnya untuk menghasilkan sebuah filem berskala besar sekiranya belum berpengalaman. Ada orang kata menghasilkan filem ini umpama ‘berjudi nasib’.
Tidak semua pertaruhan akan menjadi tapi sekiranya mendapat sambutan, laba yang diterima juga menguntungkan. Tapi harus diingat, tidak semua penerbit memikirkan tentang perkara itu.
Sama juga yang berlaku kepada Mawi apabila menghasilkan filem Tiada Tajuk yang bakal menjengah pawagam beberapa hari lagi. Siapa yang tidak mahukan untung? Namun bagi dirinya, mesej yang ingin disampaikan juga sama penting.
“Saya mahu penonton mendapatkan sesuatu apabila mereka menonton filem ini. Sebenarnya bila menghasilkan sesuatu karya, setiap babak itu penting dan saya tak mahu mensia-siakannya.
“Jadi bila menghasilkan Tiada Tajuk, setiap babak ada mesej yang perlu digabung jalin dan dilihat dari ruang lingkup yang lebih besar. Ini yang saya mahu selitkan,” katanya.
Bakal ditayangkan bermula 4 April ini, filem ini adalah kesinambungan daripada telefilem Rock Sangkut yang pernah dihasilkan oleh syarikatnya beberapa tahun lalu.
Jelasnya, setiap kali telefilem ini diulang siar, dia akan mendapat maklum balas daripada peminat yang mahukan dia menghasilkan karya lain.
Ditambah pula dengan beberapa idea yang muncul ketika itu, dia akhirnya mahu mengekalkan Hazama, Along Cham dan Joey Daud daripada naskhah telefilem kepada layar lebar.
“Impak Rock Sangkut itu begitu besar sebenarnya sehingga membuatkan ramai peminat yang meminatinya. Bila menjadi sebuah filem, saya kembangkan lagi idea untuk lebih menarik.
“Tapi jangan risau, mereka yang belum menonton telefilem itu masih boleh faham dan menikmati jalan cerita Tiada Tajuk,” katanya yang merahsiakan jumlah wang yang dilaburkan untuk filem ini.
Selain ketiga-tiga pelakon tersebut, filem ini turut dibintangi oleh Anas Tahir, Ropie, Kamarul Yusof, Amira Othman dan Johan As’ari.
Pengalaman berhabis!
BAGI Anas Tahir pula, ini adalah pengalaman pertamanya beraksi dalam naskhah layar lebar. Pastinya teruja dengan tawaran yang dibuat oleh Mawi, dia berharap apa yang dipersembahkan akan menarik perhatian penonton.
Adik kepada penyanyi Faizal Tahir ini mengakui bukan senang untuknya menerima tawaran memandangkan lakonan bukanlah sesuatu yang dekat dengan dirinya.
“Bila Mawi datang tawarkan watak untuk saya membuatkan saya terfikir adakah mampu untuk digalas? Lakonan memang asing tetapi keyakinannya membuatkan saya bersetuju untuk memegang watak Tohir.
“Kami sendiri memang berkawan baik memandangkan bergandingan bersama sebagai penyampai radio Zayyan. Asalkan kerja hakiki tidak ‘terbabas’, rasanya okey sahaja,” katanya.
Berlainan pula dengan Maslobo yang juga orang baharu di depan tabir. Wataknya sedikit kecil namun sangat penting bagi menentukan keseluruhan jalan cerita Tiada Tajuk.
Hanya mengenakan ihram sepanjang filem ini berlangsung, Maslobo mengakui cabaran paling besar apabila berada di dalam set bawah tanah.
“Orang selalu kata suhu bawah tanah lebih sejuk tapi sebenarnya tidak. Bila bercampur dengan lampu dan peralatan penggambaran lain, memang berpeluh dibuatnya.
“Tapi saya gembira kerana dapat memberikan sesuatu untuk Tiada Tajuk. Tiada apa yang diharapkan selain filem ini mampu diterima ramai,” ujarnya.
Cabaran
TIDAK menafikan lebih selesa bekerja dengan beberapa nama yang sinonim dengan dirinya, Mawi mula mengerti mengapa ada dalam kalangan penerbit filem lebih gemar mengambil muka yang sama dalam setia produksi.
Jelasnya, apabila menghasilkan Tiada Tajuk, dia gembira bila kesemua pelakon terlibat sudah rapat dengan dirinya dan tahu apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak.
“Bila duduk di bangku pengarah saya mula faham dengan situasi ini. Orang lama mungkin tiada masalah tetapi orang baharu, agak sukar dan memerlukan masa untuk mencari keserasian.
“Gandingan antara pelakon yang saya pilih sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Jadi saya tak menghadapi banyak masalah sepanjang mengarahkan naskhah ini dua tahun lalu,” tambahnya.
Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka selama 30 hari, Mawi mengakui yang dia banyak mendapatkan nasihat daripada orang berpengalaman seperti Che Mie dan Syamsul Yusof yang rapat dengan dirinya.
Dia juga mengambil inspirasi daripada beberapa filem Iran yang ditonton bagi memberikan garis panduan untuknya mencari ramuan yang terbaik bagi Tiada Tajuk.
“Saya suka menonton filem P. Ramlee dan pemahaman kita kepada filem berkenaan berubah-ubah mengikut usia. Masa kecil saya melihat ia seperti A namun bila menginjak dewasa pemahaman berubah jadi B.
“Jadi saya mahu Tiada Tajuk juga memberikan maksud tersirat dan akan kekal relevan sampai bila-bila. Kalau naskhah filem P. Ramlee mampu bertahan puluhan tahun, kenapa kita tidak boleh menghasilkan karya sebegitu?” tambahnya.











