Lambat bertindak punca pencemaran lebih teruk? - Utusan Malaysia

Lambat bertindak punca pencemaran lebih teruk?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
RATA-RATA rakyat sudah maklum kejadian pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor oleh individu tidak bertanggungjawab.

Gelombang pertama berlaku pada 7 Mac lalu melibatkan Sekolah Menengah Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, disusuli gelombang kedua iaitu pada 11 Mac lalu sebaik sahaja sekolah dibuka semula dan kali ini melibatkan lagi dua buah sekolah.

Terbaru, berlaku gelombang ketiga pada 11 Mac lalu sehingga menyebabkan Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan semua sekolah di daerah Pasir Gudang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jika kita lihat, situasi ini semakin hari semakin teruk, namun sayang kerajaan negeri seolah-olah mengambil ringan terhadap kes pencemaran bahan kimia yang melanda penduduk di Pasir Gudang. Dikatakan kelewatan kerajaan negeri menangani isu itu adalah kerana bimbang kos pembersihan yang terlalu tinggi terpaksa ditanggung.

Malah menurut sumber yang dipetik daripada akhbar, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan bahawa sisa buangan bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim sepatutnya dibersihkan dengan segera apabila sudah dikesan pada minggu lepas.

Tetapi langkah tersebut tidak diambil ekoran kos pembersihan sungai itu yang terlalu tinggi dan dek kerana langkah ‘bijak’ tersebut, sisa-sisa bahan kimia masih mengalir di Sungai Kim Kim sehingga mengakibatkan berlakunya gelombang kedua dan ketiga.

Sekiranya kerajaan negeri mengambil langkah lebih awal dengan melakukan pembersihan pada kadar segera minggu lepas, saya yakin situasi sekarang lebih terkawal, namun semua itu tidak terjadi malah keadaan menjadi semakin buruk.

Saya tidak pasti apa yang difikirkan oleh kerajaan negeri, adakah nyawa rakyat begitu murah sehinggakan sangat berkira untuk menampung kos pembersihan di Sungai Kim Kim?

Lebih malang, rata-rata semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan terjejas langsung tidak turun padang melihat situasi yang berlaku sebelum ini. Mereka hanya datang apabila Menteri Besar, Osman Sapian turun padang dan mengadakan satu sidang akhbar.

DHIA HANI,
Persatuan Pemikir Muda Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini