ADDIS ABABA 10 Mac – Sebuah pesawat Ethiopian Airlines yang dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Nairobi, Kenya terhempas kira-kira enam minit selepas berlepas, pagi ini.
Pesawat Boeing 737 MAX 8 itu dipercayai membawa 149 penumpang dan lapan krew kabin.
Laporan terkini menyebut, kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan terbunuh.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan memberitahu, kemalangan tersebut berlaku kira-kira pukul 8.44 pagi waktu tempatan selepas berlepas dari ibu negara Ethiopia.
Menurut kenyataan itu, operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan di lokasi nahas di bandar Bishoftu, sebaik sahaja mendapat laporan itu.
“Pesawat ET302 berlepas pada pukul 8.38 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole, Ethiopia sebelum terputus hubungan enam minit kemudian,” jelas kenyataan itu.
Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed dalam akaun Twitter miliknya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Terdahulu, Ethiopian Airlines menyenaraikan 33 kewarganegaraan mereka yang berada di dalam pesawat tersebut.
Dalam sidang akhbarnya, Ketua Pegawai Eksekutif Ethiopian Airlines, Tewolde Gebremariam berkata, kapten pesawat memberitahu pengawal trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole dekat sini bahawa ‘dia mengalami kesukaran’ dan mahu berpatah balik, dan diberikan kebenaran.
Menurut laman web Ethiopian Airlines, syarikat penerbangan itu diangkat sebagai syarikat penerbangan terbaik di Afrika ekoran rekod keselamatannya meskipun salah sebuah pesawat syarikat itu pernah terhempas di Laut Mediterranean pada 2010, yang mengorbankan 90 penumpang dan krew.
Pesawat Boeing 737 MAX 8 adalah jenis pesawat yang sama seperti Lion Air yang terhempas pada Oktober lalu, 13 minit selepas berlepas dari Jakarta, Indonesia, mengorbankan 189 orang. – AFP











