KUALA LUMPUR 28 Mac – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mengulangi pendiriannya untuk tetap komited mengekalkan penciptaan nilai pemegang saham di samping menyediakan perkhidmatan boleh dipercayai dan cemerlang kepada para pelanggan serta meneruskan pembangunan profesional berterusan kepada kakitangannya secara konsisten.
Syarikat utiliti itu berkata, walaupun dengan perubahan organisasi di peringkat tertinggi, TNB akan terus mengekalkan kemapanan di bahagian teras syarikat dengan memberi penekanan terhadap penyelesaian tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, syarikat akan terus melaksanakan inisiatif untuk memperbaiki kehidupan golongan yang kurang bernasib baik sekali gus meningkatkan kehidupan rakyat.
Ujarnya, TNB juga akan memberikan contoh piawaian tertinggi dalam tadbir urus korporat dan tidak terkecuali termasuklah berhubung dengan pelantikan kepemimpinannya.
“TNB berterima kasih di atas sumbangan Datuk Seri Ir. Azman Mohd. sejak pelantikannya pada 2012, yang menyaksikan peningkatan nilai pasaran TNB hasil daripada transformasi yang dilakukan oleh syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Melalui transformasi tersebut, beliau telah menetapkan TNB kepada aspirasi yang lebih tinggi dengan mengetuai dan memberi inspirasi kepada para pekerja, menanamkan budaya kerja baharu untuk memastikan mereka kini lebih bersedia berhadapan dengan gangguan trend yang berlaku dalam industri utiliti di seluruh dunia.
“Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan seluruh kakitangan TNB ingin merakamkan penghargaan tertinggi dan ikhlas kepada Azman dan mengalu-alukan kehadiran Amir Hamzah Azizan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
TNB berkata, pengalaman Amir Hamzah dalam pelbagai syarikat multinasional dan sektor tenaga adalah penting kepada perjalanan transformasi TNB untuk membawa syarikat ke tahap lebih baik seterusnya mencapai aspirasi menjadi 10 syarikat utiliti teratas di dunia menjelang 2025.
Semalam, TNB mengumumkan Azman meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Mac 2019.
Katanya, lembaga pengarah menerima persetujuan Pemegang Saham Istimewa, Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MoF Inc.) yang meluluskan pelantikan Amir bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 2 April 2019 hingga 1 April 2022.











