KUALA LUMPUR – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menghantar empat atlet menggalas cabaran negara menghadapi Kejohanan Olahraga Queensland di Australia yang akan bermula esok.
Empat atlet tersebut ialah dua jagoan lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei, pemegang rekod lompat kijang Asia Tenggara dan kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail serta pelari yang berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib.
Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim mengesahkan penyertaan empat atlet tersebut.
“Saya berharap mereka dapat memberikan persembahan terbaik di sana supaya dapat melayakkan diri ke Doha pada 20 April ini,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.
Bagi Hakimi, kejohanan itu merupakan platform yang baik buat dirinya sebelum menghadapi Grand Prix Malaysia di Bukit Jalil hujung minggu ini dan Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar bulan depan.
“Kejohanan ini sangat bagus kerana ada dua atlet dari Jepun berjaya melakukan lompatan dengan jarak lebih daripada 16.50m.
“Selain itu, empat atlet Australia juga sudah melepasi jarak 16m untuk tahun ini,” jelasnya.
Dua atlet Jepun itu ialah pemenang pingat gangsa lompat kijang Sukan Universiti Dunia 2019, Ryoma Yamamoto dan Ryosuke Inui.
Empat pencabar Hakimi dari Australia pula ialah Emmanuel Fakiye, Shemaiah James, Alwyn Jones dan Julian Konle selain seorang atlet Fiji, Eugene Volmer. – K! ONLINE











