KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.27 bilion pada 2018, berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.89 bilion tahun sebelumnya.
Kali terakhir Khazanah merekodkan kerugian sebelum cukai adalah pada 2005, manakala kerugian bersih kali terakhir direkodkan Khazanah adalah pada 2008.
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, dana kekayaan berdaulat Malaysia itu berkata, keuntungan terjejas akibat jumlah pelupusan yang lebih sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya, pendapatan dividen yang berkurangan dan peruntukan bagi susut nilai yang lebih tinggi.
“Nilai portfolio Khazanah yang diukur menerusi Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion pada 31 Disember 2018, penurunan 21.6 peratus daripada RM116 bilion pada 31 Disember 2017.
“Nilai Aset Boleh Tunai (RAV) juga menurun kepada RM136 bilion daripada RM157 bilion dalam tempoh yang sama.
“Prestasi portfolio jangka panjang bagaimanapun kekal pada trajektori menaik, dengan NWA mencapai pulangan 11 peratus setiap tahun sepanjang 10 tahun yang lalu,” katanya.
Untuk 2018, Khazanah mengisytiharkan dividen sebanyak RM1.5 bilion.
Menurut kenyataan tersebut, kerajaan Malaysia telah memulakan penstrukturan dan penyusunan semula Khazanah, melibatkan perubahan kepimpinan dalam Lembaga Pengarah dan Pengurusan serta pengenalan mandat dan objektif yang baharu.
“Antara pencapaian Khazanah tahun lalu termasuk pengambilalihan Prince Court Medical Centre dan pelaburan dalam Ping An Good Doctor serta Ant Financial di China, selain pembangunan Marina One dan DUO di Singapura yang telah siap sepenuhnya dan dilancarkan.
“Tahun 2018 juga menyaksikan kejayaan penerbitan beberapa tawaran permulaan awam (IPO) seperti Phunware dan Farfetch di Amerika Syarikat,” katanya.










