KUALA LUMPUR – Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan membuat keputusan di saat akhir untuk menarik diri daripada menyertai Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini sebentar tadi.
Jurulatih peribadinya, Mohd. Poad Kassim mengakui terpaksa menghalang anak didiknya itu daripada membabitkan diri terutama dalam acara 100 meter (m) kerana masih belum pulih daripada kecederaan.
“Tahap pemulihan Khairul sebenarnya sudah hampir pulih tetapi saya enggan mengambil risiko untuk membenarkan dia lari dalam kejohanan ini.
“Kalau Khairul lari tetapi gagal membuat catatan masa yang bagus pun tiada apa-apa makna, jadi lebih baik saya suruh dia fokus kepada pemulihannya dahulu.
“Sasaran saya untuk Khairul tahun ini ialah Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina. Saya jangka Khairul akan turun beraksi kejohanan pertamanya pada Jun depan,” katanya ketika ditemui di sebentar tadi.
Difahamkan, pemegang rekod 100m kebangsaan itu mengalami kecederaan kaki kanan selepas mengalami koyak otot pada lutut dan betisnya semasa sesi latihan menghadapi Terbuka Perak awal bulan lalu.
Bagaimanapun, Khairul yang juga pemenang pingat emas 100m Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, dikatakan sudah semakin hampir pulih ke tahap sebenar setelah menjalani proses rehabilitasi selama hampir enam minggu.
Ketiadaan Khairul menyaksikan hasrat peminat-peminat olahraga menyaksikan pertembungannya dengan raja pecut remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri yang mempunyai catatan masa terbaik 10.18 saat (s) dalam saringan 100m kejohanan tersebut sebentar tadi tidak kesampaian. – K! ONLINE











