Ketua balai polis antara ditahan terima wang sogokan - Utusan Malaysia

Ketua balai polis antara ditahan terima wang sogokan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 16 individu termasuk seorang ketua balai polis kerana dipercayai terlibat dalam melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut di ibu kota.

Menurut sumber, kesemua yang terlibat ditahan di antara pukul 10 pagi hingga 5 petang hari ini di 16 lokasi sekitar Lembah Klang hasil daripada risikan yang telah dilakukan sejak tiga bulan lalu. 

“Seramai tujuh penjawat awam dan sembilan orang awam ditahan selepas dipercayai terbabit melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut berkenaan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka yang ditahan terdiri daripada kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pegawai Pasukan Bomba dan Penyelamat serta ketua kepada sebuah balai polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini. 

Jelasnya, premis urutan yang memberi wang sogokan itu turut diserbu oleh sepasukan pegawai Imigresen dalam satu operasi besar-besaran Sabtu lalu.

“Kumpulan suspek terbabit menerima wang sogokan secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 setiap bulan. 

“Difahamkan pemilik premis itu dipaksa membayar wang sogokan setelah penjawat awam terbabit datang memberi ‘salam perkenalan’ di peringkat awal,” ujarnya. 

Tambahnya, wang tersebut dikatakan sebagai duit ‘perlindungan premis’ malah mereka turut menggunakan orang awam sebagai perantara yang akan datang setiap bulan bagi mengutip wang sogokan berkenaan. 

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. 

“Kesemua yang ditahan kini ditempatkan di SPRM Putrajaya dan permohonan reman terhadap mereka akan dilakukan esok. 

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini