PULAU PINANG 8 Mac – Kerajaan Negeri Pulau Pinang diingatkan tidak mengambil mudah isu pengusiran penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini yang sehingga kini masih tinggal di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, isu penduduk yang terpaksa tinggal merempat di Komtar itu perlu ditangani segera kerana melibatkan faktor kemanusiaan khususnya membabitkan penduduk miskin.
Tambahnya, beliau bimbang tindakan tegas berterusan kerajaan negeri termasuk dalam isu perobohan gerai dan rumah di negeri ini akan membangkitkan gelombang kemarahan rakyat yang mungkin disuarakan dalam bentuk tindakan seperti demonstrasi.
“Apabila keadaan itu berlaku, kerajaan negeri tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana ia merupakan manifestasi kemarahan rakyat yang melihat tindakan mereka itu seolah-olah menjurus kepada satu bentuk kezaliman,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau keadaan sebanyak enam buah keluarga PPR Taman Manggis yang masih tinggal di pekarangan Komtar di sini sehingga kini selepas dihalau dari rumah mereka sejak Rabu lalu.
Menurut Ibrahim, kerajaan negeri mempunyai ruang dari sudut masa dan kuasa untuk menyelesaikan isu membabitkan penduduk itu dengan lebih prihatin serta secara berhemah.
Katanya, penduduk berkenaan berhak mendapat keadilan sewajarnya daripada kerajaan negeri apatah lagi mereka merupakan penduduk negeri ini.
“Jika kita boleh bantu rakyat lain yang tertindak seperti etnik Rohingya dan penduduk Palestin, mengapa rakyat sendiri seperti penduduk Taman Manggis ini tidak boleh dibantu sehingga mereka dihalau dan merempat di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











