PASIR SALAK 19 Mac – Kecewa kerana rintihan mereka tidak dipedulikan, peneroka Felcra Seberang Perak di sini sedia mengadakan perhimpunan besar-besaran untuk menuntut kerajaan mengembalikan bayaran sara hidup penuh sebanyak RM1,000 sebulan yang diterima sebelum ini.
Pengerusi Gerakan Generasi Kedua Felcra Seberang Perak, Mohd. Rossidi Ismail berkata, setelah keluhan mereka disiarkan dalam akhbar baru-baru ini, tiada maklum balas positif yang diterima daripada pihak kerajaan.

“Kami beramai-ramai akan menyerahkan memorandum kepada menteri yang berkenaan iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen sama ada minggu ini atau minggu depan,” katanya.
Mohd. Rossidi turut mencadangkan supaya Felcra diletakkan semula di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar seperti sebelum ini.
Menurutnya, menerusi struktur baharu pentadbiran kerajaan, Felcra diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang menyebabkan peruntukkan sukar disalurkan.
“Felcra di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyebabkan tiada lagi peruntukan pembangunan untuk orang kampung seperti Felcra yang terletak di luar bandar.
“Di bawah kementerian baharu ini, ia berasaskan mencari keuntungan semata-mata,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Kelab Suara Generasi Kedua Anak Peneroka Felcra Seberang Perak, Ahmad Zabidi Abdul Samad berkata, mereka tidak akan berhenti daripada perjuangan menuntut hak bayaran sara hidup penuh sebanyak RM1,000 sebulan yang dijanjikan sebelum ini.

“Kami akan mengadakan perhimpunan besar-besaran mungkin juga melibatkan peneroka Felcra dari seluruh Perak dan mendapat kerjasama daripada peneroka dari seluruh negara,” katanya.
Baru-baru ini, peneroka Felcra di sini mengadakan perhimpunan dan menyerahkan memorandum kepada Senator Khairul Azwan Harun menuntut bayaran sara hidup RM1,000 dikembalikan setelah mereka kini hanya menerima RM450 sebulan.
Bayaran RM1,000 sebulan adalah berdasarkan tanah seluas tiga hektar kelapa sawit dan tiga hektar sawah peneroka yang diuruskan oleh Felcra Berhad.











