KUALA LUMPUR – Hasrat atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi memecahkan rekod kebangsaan miliknya pada Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi tidak kesampaian.
Ia gara-gara kekejangan otot kaki kiri dialami Iskandar, 25, sewaktu percubaan pertama pada had ketinggian 5.32 meter (m) dalam usaha memadam rekod kebangsaan miliknya iaitu 5.31m dicatatkannya tahun lalu.
Disebabkan itu, Iskandar gagal melepasi had ketinggian 5.32m dalam tiga lompatannya sekali gus terpaksa akur menamatkan edisi pertama GP Terbuka Malaysia dengan hanya mencatatkan 5.20m walaupun berjaya meraih pingat emas acara tersebut.
“Saya memang mahu cuba memecahkan rekod sendiri tetapi saya dah mula rasa kejang otot sewaktu lompatan pertama dan ia terus mengganggu rentak saya dalam dua percubaan seterusnya.
“Saya terpaksa terima hakikat menang dengan catatan 5.20m sahaja hari ini. Saya harap dapat memecahkan rekod ini pada kejohanan seterusnya Mei nanti,” katanya kepada Kosmo! Online sejurus tamat aksi final lompat bergalah sebentar tadi.
Sementara itu, pemegang rekod lempar cakera wanita negara, Choo Kang Ni menepati ramalan apabila menjuarai acaranya dengan lemparan sejauh 44.39m.
Bagaimanapun, catatan itu dilihat masih jauh berbanding rekod kebangsaan 47.91m dilakukannya sewaktu meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Dalam perkembangan sama, R. Kirthana juga berjaya menepati jangkaan apabila mudah mengungguli acara lompat kijang wanita menerusi catatan 13.17m. – K! ONLINE











