PUTRAJAYA 1 Mac. – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia menghamparkan karpet kepada pemain bola sepak dan futsal dari Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang teraniaya ekoran masalah kewangan selain turut diperkudakan oleh badan induk tersebut.
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pintu KBS sentiasa terbuka untuk mereka dalam usaha membantu nasib pemain memandangkan beliau sudah sedia maklum dengan masalah PFA sejak dari awal lagi.
“Keutamaan saya adalah untuk membantu atlet. Kami sentiasa membuka pintu untuk berbincang dan berdialog, malah mereka juga boleh sertai tidak kira sama ada dia adalah warganegara Malaysia mahupun sebaliknya.
“Kedudukan saya sekarang adalah untuk menasihati dan berbincang dengan pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) untuk menyelesaikan kemelut ini. Hubungan FAM dan KBS juga agak rapat, dan mereka banyak membantu dalam hal ini.
“Jadi kita yakin dapat mencari titik pertemuan untuk membantu kebajikan atlet,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pemain e-sukan, Muhamad Luqman Haziq Hajiman ke kejohanan kelayakan e-Piala Dunia FIFA di Singapura pada Mac ini, di Menara KBS, di sini hari ini.
Perlis sebelum ini digugurkan daripada Liga M selepas berdepan masalah tunggakan gaji pemain manakala PFA tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing musim ini.- UTUSAN ONLINE










