JOHOR BAHRU 8 Mac – Penduduk Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang dekat sini sudah lali dengan kesan pencemaran di Sungai Kim Kim beberapa tahun yang lalu namun pembuangan sisa kimia pada malam kelmarin adalah yang terburuk.
Menurut Zulkifly Kassim, kesan pembuangan sisa kimia ke dalam sungai itu menyebabkan berlakunya pencemaran udara dipercayai gas metana hingga menjejaskan 200 penduduk di kampung dengan bau busuk dan air yang kotor.
Katanya, keadaan mereka lebih terjejas berbanding kampung lain kerana berada 300 meter daripada tempat sisa kimia dibuang dipercayai oleh sebuah lori tangki berhampiran kawasan pembinaan jambatan di sungai tersebut.
“Boleh dikatakan hampir setiap minggu air sungai ini bertukar menjadi kekuningan dan hitam. Cuma pencemaran kali ini jauh lebih teruk kerana mengeluarkan bau busuk yang kuat hingga terasa pening, loya dan muntah-muntah.
“Walaupun sudah dua hari berlalu, bau busuk itu masih ada setelah sisa kimia yang dibuang ke dalam sungai melekat di tebing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, seramai 1,400 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, diarah mengosongkan kawasan sekolah kerana terdapat pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai dari bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.
Setakat ini, seramai 39 mangsa termasuk 21 pelajar SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih serta orang awam sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail selepas terhidu gas tersebut.
Zulkifly berkata, sungai yang berada kira-kira 50 meter dari rumahnya itu dahulu mempunyai banyak hidupan air seperti ketam, udang dan ikan sebelum dicemari oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sejak menetap di sini pada 2004, air sungai ini jernih dan mempunyai banyak hidupan air dan menjadi punca pencarian pemancing di sini. Bagaimanapun, sejak kawasan perindustrian mula membangun di kawasan ini, kualiti air semakin buruk. Malah keadaan sungai juga mula berubah menjadi cetek dan kotor. Kami sudah lali dengan bau busuk dan keadaan air sungai yang semakin kotor,” katanya.
Katanya, dia sudah buat laporan polis di Balai Taman Pasir Putih kira-kira 11 malam tadi selepas kejadian itu namun masih belum ada tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa.











