KUALA LUMPUR 6 Mac – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mengambil tindakan drastik dengan merehatkan serta merta ketua jurulatih, Ahmad Yusoff susulan prestasi hambar skuad Harimau Kumbang dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Presiden FAP, Dr. Amar Pritpal Abdullah dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan, keputusan tersebut dicapai sebulat suara dalam satu mesyuarat khas badan induk itu yang diadakan semalam.
“Keputusan drastik ini diambil setelah menilai kesemua aspek prestasi semasa dan demi memperbaiki cabaran pasukan dalam baki saingan Liga Perdana 2019.
“Ahmad telah dimaklumkan berkenaan keputusan ini,” kata Dr Amar menerusi kenyataan tersebut.
Pulau Pinang kini menduduki tangga kesembilan daripada 12 pasukan Liga Perdana setelah mencatat satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.
Ahmad Yusoff merupakan jurulatih ketiga direhatkan pada musim ini selepas Mohd. Fauzi Pilus yang membimbing PDRM dan Mohd. Farhan Abdullah (Sarawak), susulan prestasi hambar pasukan masing-masing.- BERNAMA










