JAKARTA 11 Mac – Calon pilihan raya Presiden (pilpres) nombor satu, Joko Widodo atau Jokowi melahirkan kekesalan berhubung kempen berunsur fitnah yang dilemparkan terhadapnya sejak kebelakangan ini.
Kompas.com melaporkan, beliau juga kecewa kerana banyak pihak mempercayai semua fitnah tersebut sehingga menurut satu kajian, sebanyak sembilan juta penduduk Indonesia mempercayai propaganda terbabit.
“Dalam tempoh dua minggu ini, tersebar banyak fitnah antaranya saya dan Ma’ruf Amin akan melarang laungan azan jika kami menang pilpres kali ini.
“Saya lihat banyak pihak sudah terpengaruh dan percaya dengan semua fitnah tersebut yang ternyata adalah penipuan dan tidak masuk akal,” katanya.
Jokowi berkata demikian ketika menghadiri majlis bacaan ikrar sokongan oleh Forum Betawi Rampug, di sini semalam.
Sehubungan itu, Jokowi menasihatkan rakyat supaya tidak menyebarkan berita tidak benar supaya pilpres dapat berlangsung dengan lancar dan adil.
Selain itu beliau juga menolak dakwaan merupakan Presiden anti-Islam dan perkara berkenaan disifatkan sebagai tidak wajar memandangkan Jokowi sendiri memilih Ma’ruf yang merupakan tokoh agama sebagai naib Presiden.
“Saya tanya, siapa yang tanda tangan Hari Santri 22 Oktober? Bagaimana saya anti-Islam, anti-ulama? Yang tanda tangan Hari Santri itu kan saya,” tegas Jokowi.
Sementara itu, Jokowi menafikan isu yang mendakwa kad prakerja hanya untuk membayar gaji golongan penganggur.
Katanya, kad tersebut bertujuan untuk mengalakkan generasi muda merebut peluang dalam bidang industri dengan sasarannya terdiri daripada golongan lepasan sekolah, universiti dan perguruan tinggi.
“Sebelum memasuki fasa pekerjaan sebenar, golongan muda ini digalakkan supaya menjalani latihan industri dahulu dan selepas tamat latihan, mereka yang belum memperoleh pekerjaan akan diberi insentif namun hanya dalam tempoh tertentu iaitu enam bulan hingga setahun,” katanya. – AGENSI











