KUALA LUMPUR 27 Mac – Orang ramai dipelawa untuk menghantar haiwan peliharaan terbiar ke Pusat Tahanan Haiwan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Industri Integrasi Rawang, Selangor tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad dalam satu kenyataan memaklumkan, program GIDOP (gift & adopt) membolehkan haiwan yang terbiar seperti kucing dan anjing diambil menjadi peliharaan secara percuma.
“Program ini bertujuan mendidik masyarakat agar tidak melepaskan atau membuang haiwan peliharaan di kawasan awam sebaliknya menyerahkan kepada Unit Kawalan Haiwan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS,” katanya.
Pusat tahanan itu hari ini menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dan Ahli-ahli Majlis MPS Zon 12, 15, 16, 17, 18 serta 22.
“Sze Han juga berharap pusat tahanan haiwan ini dapat diubah suai menjadi pejabat yang mempunyai ruang menunggu untuk dijadikan pusat setempat bagi Program Adopsi Haiwan Terbiar,” katanya.
Tambahnya, lawatan berkenaan bertujuan menilai cadangan MPS bagi memohon bantuan kewangan untuk menaik taraf pusat tersebut dengan kos anggaran sebanyak RM192,750 meliputi kerja baik pulih kemudahan dan fasiliti serta pembelian peralatan yang diperlukan.
Pusat tahanan itu mempunyai keluasan kira-kira 0.2 hektar (0.5 ekar) yang dibina pada tahun 2008 sebagai pusat tahanan kawalan kucing, ajing liar dan kawalan haiwan ternakan berkeliaran seperti lembu dan kambing. – UTUSAN ONLINE











