ISLAMABAD 9 Mac – Islamabad mengulangi pendirian tegas untuk tidak akan sesekali mengiktiraf kedudukan Israel yang disifatkan sebagai ‘musuh nombor satu’ Pakistan.

Menteri Hal Ehwal Parlimen, Ali Muhammad Khan menyatakan perkara itu ketika sesi pendengaran awam di Parlimen kelmarin.
“Pakistan tidak akan mengiktiraf Israel sampai bila-bila. Rejim Zionis itu merupakan musuh utama negara ini,” katanya seperti dilaporkan Press TV.
Kenyataan Ali itu dibuat sebagai reaksi terhadap komen yang dikeluarkan oleh bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf.
Pervez dalam satu sidang akhbar di Dubai sebelum itu menggesa supaya Islamabad memperbaiki hubungan dengan Tel Aviv bagi mengukuhkan pertahanan untuk berdepan dengan India.
Selain itu, Ali menegaskan perkara itu tidak perlu memandangkan negara ini bersatu untuk tidak mengiktiraf kewujudan Israel.
“Semua rakyat Pakistan berkeras menolak untuk negara ini menjalin hubungan dengan Israel,” tegasnya.
Kenyataan Ali itu juga seiring dengan komen yang dibuat oleh Duta Pakistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Maleeha Lodhi yang menentang sebarang hubungan antara negara ini dengan Tel Aviv, selain menyatakan komitmen untuk terus menyokong Palestin.
Ketua Parti Rakyat Pakistan (PPP), Syed Kurshid Ahmed Shah turut menegaskan, Perdana Menteri, Imran Khan tidak akan membuat ‘kesalahan’ dengan mengiktiraf Israel.
Jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Mohammad Faisal memaklumkan pada bulan lalu, sebarang prospek untuk menjalin hubungan dengan Israel tidak akan dilayan.
Media tempatan juga melaporkan, Israel terlibat dalam membantu India melancarkan serangan ke atas negara ini susulan insiden pengebom bunuh diri yang mengorbankan seramai 42 anggota tentera negara itu pada tengah bulan lalu.
Dalam perkembangan lain, seorang penduduk Palestin maut dan 42 yang lain cedera terkena peluru hidup yang dilepaskan oleh tentera Israel dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan di Semenanjung Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, insiden itu berlaku semalam, menyaksikan golongan wanita dan kanak-kanak antara yang cedera.











