Israel, AS dimalukan IAEA - Utusan Malaysia

Israel, AS dimalukan IAEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN 5 MAC – IRAN terus komited mematuhi perjanjian nuklear yang dipersetujuinya meskipun berdepan pelbagai tuduhan tidak benar daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang berniat memburukkan imej negara ini.

MOHAMMAD JAVAD ZARIF
MOHAMMAD JAVAD ZARIF 

Perkara itu ditegaskan Menteri Luarnya, Mohammad Javad Zarif yang memberitahu komitmen Iran itu disahkan buat kali ke-14 oleh pihak pemantau nuklear, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Bertentangan dengan penipuan berturut-turut dibuat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden AS, Donald Trump, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk ke-14 kalinya mengesahkan komitmen Iran terhadap perjanjian nuklear masih berterusan,” tulisnya menerusi laman Twitter seperti dipetik Press TV.

Ketua Pengarah IAEA, Yukiya Amano sebelum itu mengesahkan komitmen Iran dalam mematuhi perjanjian yang dimeterai pada 2015 itu.

“Iran sehingga kini terus komited mematuhi perjanjian di bawah Pelan Tindakan Komprehensif bersama,” jelasnya.

Kesepakatan antara Iran de­ngan kumpulan negara terma­suk AS, Britain, Perancis, Rusia, China dan Jerman itu telah diraih di Vienna.

Menerusi perjanjian itu, sekatan nuklear terhadap Iran digugurkan dengan syarat Teheran mengubah beberapa aspek dalam program tenaga nuklearnya.

Trump pada Mei tahun lalu menarik Washington keluar daripada perjanjian tersebut, mendesak agar sekatan terhadap Iran diwujudkan kembali.

Mohammad Javad mengingatkan AS bahawa negara itu telah melanggar perjanjian tersebut.

AS tetap terus menarik diri walaupun perjanjian tersebut telah disahkan dalam bentuk resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Amano berkata, IAEA akan terus mengesahkan pengisytiharan Iran tentang program nuklearnya seperti dipersetujui.

Namun, Washington dan Tel Aviv secara berterusan me­nuduh program nuklear Teheran sebagai satu bentuk pembangunan ketenteraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN