MELAKA 28 Mac – Pengayuh beca yang dikenal pasti merakamkan video sebelum menyebarkan `pergaduhannya’ dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengakalan Batu, Norhizam Hassan Baktee di hadapan Menara Taming Sari di sini semalam, didakwa mempunyai masalah iaitu suka bertindak sendiri.
Salah seorang pengayuh beca di negeri ini, Azman Dollah, 53, mendakwa, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Firdaus berusia lingkungan 30-an sering berselisih pendapat dengan pengayuh beca lain walaupun sudah membawa beca sejak belasan tahun.
“Kami pengayuh beca juga pernah bergaduh dengannya, saya percaya kejadian semalam berlaku disebabkan pemuda itu suka buat keputusan sendiri, dia rasa dia sahaja yang betul.
“Walaupun ketika kejadian saya tiada di tempat kejadian, saya dimaklumkan beberapa pengayuh beca lain melahirkan rasa tidak puas hati atas tindakan pemuda itu,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar bersama Norhizam di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini sebentar tadi.
Dalam kejadian semalam, satu rakaman video ‘pergaduhan’ membabitkan Norhizam dengan seorang pengayuh beca tular dalam laman sosial yang berlaku di hadapan Menara Taming Sari.
Video berdurasi 1 minit 35 saat itu dikatakan berlaku ketika Norhizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri melawat kawasan tersebut.
Sewaktu berbincang dengan beberapa peniaga di kawasan itu, berlaku ‘pergaduhan’ antara Norhizam dengan perakam video tersebut sebelum wakil rakyat itu terpaksa ditenteramkan oleh orang ramai. – UTUSAN ONLINE











