KUALA LUMPUR 8 Mac – Sebanyak 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen dalam satu operasi yang dilakukan di Pasar Borong Selayang dan Meru, Selangor hari ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang disertai 94 orang pegawai imigresen itu yang bermula pukul 6 pagi turut memeriksa 32 lot premis dalam kawasan pasar dan gerai-gerai haram di sekitar pasar.
“Kita telah memeriksa sebanyak 169 orang dan menahan sebanyak 47 PATI berusia sekitar 25 hingga 48 tahun yang terdiri daripada warga Myanmar, 22 orang, Indonesia (16), Bangladesh (4) dan India, 5.
“Sebanyak 14 majikan turut ditahan dalam operasi tersebut dan tindakan mengesan pemilik lot-lot pasar borong akan dibuat bersama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen itu susulan laporan khas Mingguan Malaysia pada 4 Mac lalu mengenai kebanjiran warga asing di Pasar borong Selangor, Pasar Borong Kuala Lumpur dan Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Klang.
Menurut Khairul Dzaimee, operasi tersebut juga berjaya merekodkan sebanyak 68 orang warganegara asing yang merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang bekerja secara haram di pasar berkenaan.
Berhubung isu warga tempatan yang menyewakan premis atau lot-lot pasar borong kepada warga asing, Jabatan Imigresen menyokong tindakan PBT untuk membatalkan lesen yang telah diberikan kepada mereka.
“Tindakan tegas dilihat antara usaha yang perlu diambil ke atas segelintir majikan warga tempatan yang tidak menyokong sepenuhnya usaha untuk membanteras isu menggaji dan melindungi PATI serta mengeksploitasi warga asing,” ujar Khairul Dzaimee.
Tambahnya, Imigresen juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), PBT dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membanteras dan menyelesaikan masalah PATI.











