Iktiraf kelayakan akademik pra universiti lain juga - Chandrakumanan - Utusan Malaysia

Iktiraf kelayakan akademik pra universiti lain juga – Chandrakumanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Mac – Keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk mengiktiraf UEC sebagai kelayakan pada peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) disifatkan sebagai suatu langkah terselindung.

Presiden Pusat Aduan Rakyat (PAR) Malaysia, Datuk A. Chandrakumanan berkata, ini kerana pengiktirafan itu dibuat ketika kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih belum memberi pengesahan yang jelas mengenai status UEC lagi.

“Apakah yang cuba dibuktikan oleh Tommy Thomas dan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang di sini adalah sesuatu yang mencurigakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adakah Tommy dan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang ingin membelakangi hajat dan hasrat Perdana Menteri dengan mengikuti keinginan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching yang sebelum ini lantang berjuang untuk pengiktirafan UEC adalah sesuatu yang wajar untuk dipertimbangkan.

“Ini kerana setahu saya, segala bentuk pengiktirafan status kelayakan akademik adalah prerogatif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah Kementerian Pendidikan.

“Berdasarkan kepada amalan tersebut, ia agak memusykilkan apabila seorang Peguam Negara mengambil langkah untuk buat pengumuman mengenai status kelayakan akademik UEC dan bukan menteri atau wakil daripada Kementerian Pendidikan,” kata beliau dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kata Chandrakumanan lagi, untuk pengetahuan Peguam Negara, kelayakan UEC bukanlah satu-satunya penghalang atau masalah kepada pelajar yang ingin menduduki peperiksaan sijil amalan guaman di negara ini.

Kata beliau: “Banyak aduan telah diterima oleh pihak saya di mana ramai pelajar menghadapi kesukaran untuk mendapat kelulusan daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang untuk menduduki peperiksaan sijil amalan guaman kerana faktor kelayakan pra universiti mereka.

“Pelajar-pelajar tersebut yang kebanyakannya daripada kaum India adalah graduan undang-undang daripada universiti luar negara yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Namun mereka menghadapi masalah untuk menduduki peperiksaan amalan guaman kerana kelayakan pra universiti mereka tidak diiktraf oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia seperti UEC sebelum ini.

“Jika niat dan hasrat Tommy adalah untuk berlaku adil, sila iktiraf kelayakan akademik pra universiti yang lain juga sepertimana yang beliau lakukan untuk pelajar UEC. Baru kita akan tahu jika apa yang Tommy lakukan adalah untuk kebaikan sistem undang-undang negara ini.

“Adalah harapan saya agar keadilan dikecapi dalam isu ini bagi semua.” – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini