SEREMBAN 6 Mac – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan menyelamatkan seorang ibu tunggal dan dua anaknya dalam satu serbuan di rumah seorang pengedar dadah di Ampangan dekat sini semalam.
Pengarah AADK negeri, Nazira Sadiron berkata, ibu muda berusia 20 tahun dan dua anaknya masing-masing berusia tiga tahun dan setahun itu berada dalam rumah berkenaan semasa serbuan dilakukan pada pukul 9 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati wanita itu dalam proses perceraian dan mengikut lelaki berkenaan bersama dua anaknya iaitu seorang perempuan dan seorang lelaki sejak dua bulan lalu.
“Semasa serbuan, pengedar dadah berusia 20-an yang dipercayai teman lelaki wanita berkenaan tiada di rumah.
“Wanita ini kita bantu dengan menghantarnya ke Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Wanita di Port Dickson kerana ujian air kencing mendapatinya positif syabu.
“Dua anaknya pula diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk jagaan sementara,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nazira memberitahu, semasa wanita itu dan anaknya dibawa ke pejabat AADK di sini berlaku suasana tegang apabila suami dan ibu saudaranya hadir ke pejabat berkenaan.
Katanya, ibu saudara wanita itu memarahinya kerana sebelum ini dia pernah memberi amaran supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan mengikut teman lelakinya.
“Seperti kebanyakan kes wanita yang lain, dia terjebak dengan dadah kerana tersilap pilih teman dan mempunyai masalah keluarga,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (1) Akta Penagih Dadah 1983, manakala teman lelakinya masih diburu. – UTUSAN ONLINE











