Helang Merah hormati PKNS FC - Utusan Malaysia

Helang Merah hormati PKNS FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAIN tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar mengakui enggan mendabik dada meskipun skuad Helang Merah itu sedang mendahului Liga Super 2019 selepas mencatat tiga kemenangan dalam empat perlawanan musim ini.

Sebaliknya, Baddrol menjelaskan, pasukannya tidak akan memandang rendah terhadap keupayaan mana-mana pencabar mereka apabila menerima kunjungan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada aksi kelima di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Pemain berusia 31 tahun itu membe­ritahu, setakat ini, masih terlalu awal untuk skuad kendalian Aidil Sharin Sahak meraikan kejayaan mereka di persada liga kerana menyifatkan perebutan gelaran juara pada musim ini masih lagi panjang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masih terlalu awal untuk saya mengatakan sudah berpuas hati dengan kedudukan serta prestasi semasa kami sekarang. Perjalanan liga masih lagi jauh.

“Apa pun pada pertemuan (dengan PKNS FC) nanti, bahagian penyudah Kedah perlu lebih mantap kerana kami perlu memanfaatkan segala peluang yang ada dalam bentuk gol lebih-lebih lagi ketika beraksi di laman sendiri,” kata Baddrol ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kedah merampas status pendahulu liga daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi kelebihan perbezaan jaringan gol setelah masing-masing mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri.

Mengenai ‘pertarungan’ di jentera tengah dengan bekas rakan sepasukannya, Muhammad Akram Mahinan pada pertemuan dengan PKNS FC malam ini, bekas pemain kebangsaan itu menjelaskan dia tidak berasa gusar mengenai situasi tersebut.

“Tidak menjadi masalah kepada saya meskipun kali ini perlu berdepan semula dengan Akram. Meskipun kapten PKNS FC itu tahu cara permainan saya sebelum ini, tetapi dia kena ingat, apabila jurulatih baharu datang ke mana-mana kelab, corak (permainan) sudah tentu berubah.

“Bila kata begitu, ia tidak bermakna saya memandang rendah kepada Akram dan PKNS FC kerana kami tahu mereka datang dengan motivasi yang tinggi selepas menundukkan Selangor dan PKNP FC sebelum ini.

“Namun saya yakin rakan sepasukan yang lain juga sudah tentu tidak rela kehilangan mata apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri,” jelasnya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini