KANGAR 24 Mac – Polis mengingatkan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan selain perlu berjaga-jaga memandangkan dua suspek yang disyaki terlibat membakar kereta rasminya itu masih belum diberkas pihak berkuasa.
Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, meskipun pihaknya sudah mengerahkan pegawai dan anggota untuk mengawal keselamatan Mohd. Asri bersama ahli keluarga, namun langkah tersebut bukanlah jaminan sepenuhnya ke atas keselamatan mereka.
“Saya bukan berniat hendak takutkan dia (Mohd. Asri), tapi ini adalah realitinya memandangkan situasi sekarang yang dilihat sedikit tegang dalam sehari dua ini.
“Ditambah pula semalam dia (Mohd. Asri) sendiri mengesyaki kejadian yang menimpanya itu adalah perbuatan pengganas dan pihak polis tidak boleh memandang ringan akan dakwaan itu meskipun motif kejadian lebih terjurus kepada unsur khianat dan dendam,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Mohd. Asri menyimpulkan mereka yang terlibat membakar kereta rasminya di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini, baru-baru ini sebagai perbuatan pengganas.
Sehubungan itu, beliau berharap, dua pelaku tersebut yang perbuatan mereka telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) segera ditangkap.
Sementara itu, Noor Mushar berkata, pihaknya kini sedang giat memburu kedua suspek berkenaan dan yakin mereka akan diberkas tidak lama lagi.
“Kedua-dua lelaki tempatan terbabit akan ditahan tidak lama lagi,” katanya.- UTUSAN ONLINE











