Guru SK, SMK Pasir Putih gotong royong bersihkan sekolah - Utusan Malaysia

Guru SK, SMK Pasir Putih gotong royong bersihkan sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh di Pasir Gudang, hari ini, bergotong-royong melakukan kerja pembersihan sekolah susulan kejadian pencemaran udara akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim Khamis lepas.

Tinjauan Bernama di kedua-dua sekolah itu mendapati aktiviti gotong-rotong itu bermula dengan sesi taklimat oleh Guru Besar SK Pasir Puteh, Abdul Rashid Ahmad dan Pengetua SMK Pasir Putih, Wardah Ismail pada pukul 8 pagi diikuti kerja-kerja pembersihan.

Kerja-kerja pembersihan pula tertumpu kepada kerusi dan meja serta tingkap, langsir, kipas, lantai dan penapis penyaman udara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Abdul Rashid yang ditemui ketika sesi gotong royong itu berkata di sekolahnya, seramai 80 guru, empat pekerja pembersihan swasta dan 10 anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terlibat dalam kerja-kerja terbabit.

Usaha juga dibantu oleh anggota Skuad Ponteng SMK Tanjung Puteri Resort, pekerja kilang Lotte Chemical Titan, pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pelabuhan Tanjung Langsat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Kerja-kerja ini dilakukan kerana terdapat kekhuatiran tempias sisa kimia itu ada di barangan sekolah, yang kerap disentuh oleh murid-murid.

“Jadi, kita diarahkan untuk membersihkannya menggunakan cecair antiseptik dan kebetulan, kilang Lotte Chemical pula tidak keberatan menaja cecair itu,” kata Abdul Rashid dan menambah bahawa sekolah tersebut mempunyai seramai 1,118 murid.

Sementara itu, Wardah memberitahu pihaknya turut dimaklumkan agar membuka tingkap kelas sepanjang hari ini untuk meneutralkan pengudaraan sebelum semua pelajar kembali ke sekolah, esok. 

“Proses pembersihan di sekolah saya melibatkan kira-kira 200 orang termasuk 80 guru. Pembersihan dilakukan tiga fasa bermula pada pukul 8 pagi, 10 pagi dan tengah hari tadi,” katanya.

Khamis lpeas, pencemaran udara akibat sisa kimia berjadual itu menyebabkan dua sekolah berkenaan ditutup dan 79 mangsa dirawat, setakat Jumaat.

Kedua-dua sekolah hanya berjarak kira-kira 500 meter dari tempat pencemaran. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini