GSJ serah memorandum prestasi kerajaan PH kepada Sultan Johor - Utusan Malaysia

GSJ serah memorandum prestasi kerajaan PH kepada Sultan Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Mac – Gerakan Setia Johor (GSJ) telah menyerahkan satu memorandum kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tentang hasil kajian prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didapati gagal melaksanakan beberapa tanggungjawab.

Memorandum itu adalah hasil kajian dan survei yang dibuat selama sebulan sepanjang Februari melalui kaedah kaji selidik, panggilan telefon dan undian media sosial, serta melibatkan 10,000 respondan daripada pelbagai peringkat umur, agama, kaum dan kerjaya.

Pengerusi GSJ, Mohamad Salleheen Muhammad berkata, antara hasil kajian yang diperolehi ialah kegagalan kerajaan menunaikan manifesto pilihan raya, tidak fokus menjaga kebajikan rakyat, kurang sensitif terhadap hak istimewa orang Melayu dan ancaman terhadap kedaulatan raja-raja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, apa yang lebih menyedihkan kerajaan hari ini seolah-olah menutup segala kelemahan pentadbiran dan pengurusan dengan menyalahkan kerajaan terdahulu serta mengutamakan ratifikasi polisi antarabangsa seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom yang jelas bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

“Antara intipati memorandum ini, GSJ mewakili rakyat Johor akan bersama mempertahankan institusi beraja, menolak segala ancaman dan teguh mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

“GSJ juga memohon agar Sultan Johor dapat mendesak kerajaan agar merangka satu formula khas untuk kebajikan rakyat, mendesak kerajaan Persekutuan agar dapat menyalurkan dengan kadar segera peruntukan pembangunan negeri Johor bagi tahun 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Sultan Johor semalam dan menurut Mohamad Salleheen, GSJ berpandangan Sultan Ibrahim adalah susuk tubuh yang sesuai menerima memorandum itu kerana sifat baginda yang berjiwa rakyat pasti dapat menyelami keluh-kesah rakyat di negeri Johor.

“Kami Bangsa Johor juga bertekad berdiri mempertahankan hak dan kebebasan Institusi Diraja Johor untuk bersuara demi untuk membela nasib rakyat Johor.

“Kerajaan Persekutuan yang selama ini melaung-laungkan prinsip kebebasan bersuara seharusnya menghormati hak bersuara setiap individu dan masyarakat termasuk kerabat diraja,” katanya.

Tambah beliau, rakyat Johor akan bangkit mempertahankan sekiranya Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor serta Raja-Raja Melayu yang lain dihina dan dicemuh demi kerana kerakusan dalam mengejar cita-cita politik individu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini