MILAN 18 Mac – Keputusan Juventus merehatkan Cristiano Ronaldo terpaksa dibayar dengan harga mahal selepas juara Itali itu menerima kekalahan pertama dalam Serie A setelah tewas 0-2 kepada Genoa manakala Inter Milan menewaskan AC Milan 3-2 pada aksi derby Milan.
Ronaldo direhatkan selepas membantu Juventus untuk bangkit daripada ketinggalan menewaskan Atletico Madrid sekali gus mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara, Selasa lalu.
Walaupun tumpas namun usaha Juventus untuk memastikan kejuaraan Serie A buat kelapan berturut-turut tidak terjejas kerana mereka mempunyai kelebihan 15 mata mengatasi pencabar terdekat, Napoli yang menewaskan Udinese 4-2.
Juventus memenangi 24 daripada 27 perlawanan dalam aksi liga musim ini dengan tiga daripadanya seri termasuk keputusan 1-1 menentang Genoa di Turin.
“Ini bukan tragedi namun saya memohon maaf sebab kami mahu mengekalkan rekod tanpa kalah.
“Anda tidak boleh beraksi semua perlawanan di tahap maksimum. Liga Juara-Juara sudah tentu menjadi tugas berat untuk kami,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.
Itu merupakan kekalahan liga pertama yang dihadapi skuad kendalian Allegri sejak April 2018 menentang Napoli, dan tewas kali pertama di tempat lawan setelah kali terakhir melakukannya pada November 2017 di Sampdoria.
Begitu pun, juara Itali itu tewas kepada Atalanta dalam kempen Coppa Italia selain dikejutkan dengan Young Boys dalam aksi kumpulan Liga Juara-Juara serta Atletico Madrid di pusingan kalah mati pada kejohanan berprestij di Eropah itu.
“Kekalahan ini boleh membuatkan kami lebih baik sebab mungkin kami fikir aksi liga ini sudah berada dalam poket tetap sebaliknya kami masih perlu memenangi lima perlawanan untuk mengesahkannya.
“Seperti Coppa Italia, tewas kepada Atalanta, kami tewas dalam perlawanan yang tepat sebab ia sebelum rehat antarabangsa jadi kami ada masa untuk melakukan perubahan,” kata Allegri lagi. – AFP











