KEPALA BATAS 5 Mac – Seramai dua lelaki dipercayai anggota geng tanker yang terlibat dalam puluhan kes pecah rumah, curi kereta dan samun warga emas di sekitar negeri ini ditahan polis dalam satu serbuan di Mak Mandin, Butterworth di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek berusia 38 dan 39 tahun yang mempunyai lebih 10 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu ditahan di sebuah tangki kosong yang dipercayai dijadikan pusat operasi kegiatan mereka.
Menurut Norzainy, sehari sebelum dua suspek itu ditahan mereka bersama seorang lagi rakan yang masih bebas dikenali sebagai Sharvin, 30-an memecah masuk sebuah rumah di Taman Mekar, Butterworth di sini dan melarikan pelbagai barangan berharga bernilai lebih RM10,000.
“Ekoran kejadian itu, polis berjaya menahan dua suspek berkenaan dan merampas pelbagai barangan hasil kegiatan pecah rumah antaranya barangan kemas, komputer riba, kamera, pelbagai jenis beg dan sebuah kereta yang dicuri.
“Anggaran kemua barangan yang dicuri tersebut bernilai kira-kira RM70,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Norzainy berkata, dua suspek yang tidak bekerja dan positif dadah itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah sejak tahun lalu.
Kata beliau, modus operandi suspek adalah dengan memantau rumah-rumah mewah terlebih dahulu sebelum memecah masuk pada waktu malam atau ketika mangsa tiada di rumah.
“Suspek juga menjadikan warga emas yang memakai barang kemas sebagai sasaran mereka,” katanya.
Tambah Norzainy, dua suspek itu di reman selama tujuh hari dan polis kini sedang giat mengesan rakan mereka yang turut terlibat dalam kegiatan jenayah berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Norzainy berkata, polis menahan dua lelaki dalam serbuan di sekitar Butterworth dan Tasek Gelugor dekat sini semalam kerana terlibat kegiatan mencuri motosikal dan samun.
“Suspek lelaki berusia 21 dan 23 tahun ini bersama seorang lagi rakan yang masih bebas dipercayai terlibat 10 kes curi motosikal dan samun di SPU.
“Sasaran suspek ialah motosikal jenis Yamaha kerana mendapat permintaan yang tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










