LOMBOK – Tiga rakyat Malaysia yang kini dirawat di sebuah hospital di Lombok setelah terlibat dalam kejadian gempa bumi di sini Ahad lepas akan dibenarkan pulang esok.
Mereka ialah Phua Poh Guat yang akan menaiki penerbangan Garuda dan dijangka tiba di Sepang pada pukul 5.10 petang esok; serta Wong Siew Lim dan Lee Chai Beng yang dijangka tiba dengan penerbangan Air Asia pada pukul 11.30 malam.
Pengarah Rumah Sakit Umum Daerah Nusa Tenggara Barat, Dr. Lalu Hamzi Fikri berkata, mangsa yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki itu dianggap ‘fit to fly’ oleh pakar perubatan setelah menjalani pembedahan Isnin lepas.
“Kami dah lakukan pertemuan dengan pasukan doktor dan wakil kedutaan. Perkembangan pesakit dan rencana pesakit untuk selanjutnya dan pertemuan terakhir itu ialah pesakit perlu stabil untuk transfusi darah dan tentunya secara klinis jika dah stabil boleh kita pulangkan,” kata Lalu.
Bercakap kepada Bernama News Channel (saluran Astro 502) di sini hari ini, beliau berkata, seorang lagi rakyat Malaysia, Shen Pek Chun belum dibenarkan pulang kerana terdapat proses klinikal dan insurans yang perlu dijalani. – Bernama











