KUALA LUMPUR 25 Mac – Seorang gadis remaja orang kurang upaya (OKU) dan bayi perempuan berusia empat bulan antara yang diselamatkan dalam kejadian banjir kilat di kawasan Kampung Dato Keramat, petang tadi.
Difahamkan, dalam kejadian hujan lebat pukul 4 petang itu, air naik setinggi satu meter sekali gus menyebabkan 10 buah rumah ditenggelami air.
Komander Operasi, Suhaimi Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.20 petang.
“Sebanyak 17 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat dan bantuan dari BBP Jalan Tun Razak dan BBP Titiwangsa dikerah ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Suhaimi, selain rumah, beberapa buah kenderaan turut terlibat dalam kejadian tersebut.
Tambahnya, anggota bomba turut bertindak memastikan sistem pengaliran di kawasan berkenaan berfungsi dengan baik bagi membolehkan air mengalir lancar dan operasi itu tamat pada pukul 5.41 petang. – UTUSAN ONLINE











