LONDON 13 Mac – Rio Ferdinand menggambarkan Cristiano Ronaldo sebagai ‘tuhan bola sepak’ selepas bintang Portugal itu meledak jaringan hatrik ketika membantu Juventus menewaskan Atletico Madrid 3-0, semalam.
Juara Itali itu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas mereka mencatat kemenangan agregat 3-2.
Bekas rakan sepasukan Ronaldo ketika dia beraksi di Manchester United, Ferdinand mengakui dia terpergun melihat kehebatan pemain tersebut dan menggambarkan persembahannya seperti ‘tuhan’ selain menyamakan gol pertamanya seperti pakar tanduk, Duncan Ferguson.
“Dia tuhan bola sepak. Apa yang dia lakukan ini semuanya tidak masuk akal. Semua rekod – dalam Liga Juara-Juara, dia mempunyai rekod seperti yang anda bayangkan.
“Gol pertamanya seperti Duncan Ferguson, menewaskan pertahanan lawan, itu yang dikatakan semangat,” kata Ferdinand.
Atletico mempunyai kelebihan dua jaringan selepas mereka menewaskan Juventus dalam aksi pertama kalah mati namun kelebihan tersebut gagal dimanfaatkan. – AGENSI











