KUALA LANGAT – Tindakan negara Eropah mendiskriminasi minyak kelapa sawit negara adalah semata-mata bagi menjaga pasaran ekonomi mereka.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, alasan mereka bahawa penanaman kelapa sawit akan menjejaskan hutan dan binatang liar seperti harimau, gajah serta orang utan adalah bohong.
Katanya, minyak sawit adalah lebih murah berbanding produk mereka berasaskan soya.
“Pokok kelapa sawit ditanam sekali boleh menghasilkan minyak dengan banyak dalam tempoh 25 tahun berbanding kacang soya yang perlu ditanam setiap tahun dengan pengeluarannya sekali sahaja.
“Ini tidak sepatutnya berlaku. Kalau tak nak beli jangan beli, jangan bagi alasan tak masuk akal,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Sayangi Sawitku di sini hari ini.
Menurut beliau, negara juga sedar kepentingan alam sekitar terutama berfungsi sebagai pembekalan oksigen dengan 50 peratus tanah di Malaysia masih dikelilingi hutan.
Ujar Mahathir, propaganda Eropah yang mahu negara ini menghentikan penanaman kelapa sawit akan mengakibatkan 600,000 pekerja tempatan hilang punca pendapatan sekiranya berlaku penutupan ladang.
“Mereka (negara Eropah) juga risau terhadap potensi biodiesel berasaskan kelapa sawit untuk kegunaan diesel bagi kenderaan.
“Justeru, kita mesti menang dalam peperangan kelapa sawit dengan 1.4 billion rakyat negara ini menggunakan produk tersebut sesuai dengan kempen Sayangi Sawitku,” katanya.
Jelas beliau, sekiranya negara Eropah ini terus memboikot minyak kelapa sawit, negara akan membeli barangan termasuk dari negara China. – K! ONLINE











