Duta Qatar teruja lawat Perlis - Utusan Malaysia

Duta Qatar teruja lawat Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 16 Mac – Duta Besar Negara Qatar ke Malaysia, TYT Fahad Mohammad Kafoud melahirkan rasa terujanya berkesempatan masuk menjelajah ke beberapa buah kampung di negeri Perlis ketika mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program ‘Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali yang ke 19 bagi tahun 2019 ini sejauh 12 kilometer yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Ar Rahim Kampung Titi Tok Bandar, Kangar petang kelmarin.

Beliau juga amat terharu melihat sendiri keprihatinan dan kasih sayang keluarga Diraja Perlis khususnya Tuanku Raja Muda terhadap rakyat jelata dengan sentiasa ‘turun pandang’ beberapa kali dalam seminggu untuk bertanya khabar sambil menghulurkan bantuan agihan zakat MAIPs kepada golongan asnaf yang memerlukan di segenap pelusuk negeri ini dengan diiringi oleh ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan agensi kerajaan dan juga pihak swasta negeri ini.

Beliau juga memuji langkah-langkah pro aktif pihak MAIPs dalam menyantuni golongan asnaf di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sepanjang waktu berbasikal secara santai tersebut, beliau turut berpeluang bermain layang-layang bersama-sama kanak-kanak setempat, mencuba sepak raga bulat, berfoto kenangan di dalam bendang sawah dan juga sebuah rumah tradisional selain sempat singgah di tiga buah rumah asnaf terpilih bagi menyerahkan sumbangan.

Salah seorang di antara mereka mengusahakan perniagaan membuat roti dan menjualnya di pasar-pasar malam.

Fahad turut mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra singgah bagi merasmikan ‘Projek Peningkatan Sosio Ekonomi Asnaf MAIPs’ berupa sebuah bengkel kereta dan mengecat ‘AMT Plus Enterprise’ yang mula beroperasi sejak 2016 dan diusahakan oleh Ahmad Muzanir Taharin (Tel: 0175910956).

Perniagaan beliau beroperasi di No 579 Kampung Titi Tok Bandar.

Hingga ke hari ini MAIPs telah membantu beliau RM 11,128 dengan sumbangan agihan zakat dalam bentuk bantuan mesin, bantuan bengkel dan juga bantuan bekalan elektrik.

Terdahulu daripada itu Fahad dibawa menelusuri keindahan alam semula jadi sepanjang Sungai Perlis dengan menaiki bot dari jeti Kampung Tok Kuning sampai ke Kuala Perlis dan balik.

Sementara itu, dalam program berasingan jumaat pagi, Fahad menyampaikan ‘Syarahan Umum’ di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Auditorium kolej berkenaan di Kuala Perlis.

Fahad yang dilahirkan pada 25 September 1971, sudah berumahtangga dan mempunyai tiga orang anak lelaki dan dua orang perempuan telah menyertai Kementerian Luar Negaranya pada 5 September 1993 dan sebelum ini turut pernah berkhidmat di Pejabat Kedutaan Besar Qatar di Washington (2008-2009) dan sebagai Duta Besar di Kanada (2014-2018) sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada bulan September 2018 yang lalu.

Dalam kunjungan buat julung-julung kalinya seorang Duta Besar negara Qatar ke Perlis, beliau diiringi oleh Timbalan Ketua Perwakilan Qatar di Malaysia, Mansoor Ali Al-Hajri dan mereka berlepas pulang ke ibu negara selepas menjalankan sesi lawatan kerja selama dua hari ke negeri Perlis petang semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini