ALOR SETAR 25 Mac – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kecewa apabila sesetengah pihak terutama mereka yang beragama Islam dilihat tidak mengambil berat mengenai betapa besarnya dosa bagi mereka yang melakukan amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Lebih menyedihkan kata beliau, tindakan individu yang melakukan rasuah itu tidak dipandang hina sebaliknya dibiarkan begitu sahaja sehingga mereka berani mengulangi perkara sama.
Katanya, sejarah telah menunjukkan betapa empayar-empayar Islam yang begitu gah dan agung jatuh serta musnah disebabkan masalah salah guna kuasa dan rasuah ini.
“Kita sering menekan kepada tuntutan agama untuk melakukan amalan-amalan wajib dan menjauh diri dari yang terlarang. Malangnya, kita tidak menyedari atau memilih untuk tidak mengambil berat mengenai betapa besarnya dosa kita yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa untuk kepentingan diri.
“Seolah-olah bagi kita integriti itu bukan tuntutan Islam sehingga kita tidak merasa malu apabila melakukannya dan jika kita didapati melakukannya, ia tidak dipandang hina,” katanya ketika menyampaikan amanat khas kepada penjawat awam negeri ini di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Serentak dengan itu, Mukriz turut mengetuai para penjawat awam dalam majlis tersebut melafazkan ikrar bebas rasuah.
Sementara itu, Dr. Mahathir mengingatkan penjawat awam supaya mengikis mentaliti meterialistik, suka kepada jalan mudah dan ingin menjadi cepat kaya sehingga sanggup mengenepikan integriti menerima rasuah.
“Mentaliti materialistik, suka kepada jalan mudah dan ingin cepat kaya, haruslah dikikis dalam kalangan penjawat awam di Malaysia. Ini akan membawa kepada masalah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.- UTUSAN ONLINE











