KUALA SELANGOR – Niat baik seorang remaja lelaki menunaikan solat Isyak di Masjid Ar-Raudhah di Tanjong Karang dekat sini, Selasa lalu bertukar tragedi apabila dipukul oleh seorang lelaki yang menyangkanya ingin mencuri di masjid berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa berusia 17 tahun itu menerima enam jahitan pada dahi akibat dipukul dengan menggunakan sebatang besi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang merupakan pembantu gerai makanan menuju motosikal yang diletakkan di luar pagar masjid sebaik selesai menunaikan solat isyak.
Katanya, sewaktu ingin menghidupkan enjin motosikal mangsa telah disapa seorang lelaki yang dikenalinya.
“Lelaki itu telah bertanya tujuan mangsa berada di masjid dan menuduh remaja itu mencuri tabung namun dinafikan mangsa.
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudiannya terus memukul mangsa menggunakan sebatang besi yang mengenai dahinya sebelum terjatuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Md. Asri memberitahu, suspek kemudiannya bertindak mengambil kunci motosikal mangsa sebelum memanggil rakan-rakannya di kawasan perumahan belakang masjid.
Tambah beliau, kesempatan itu digunakan mangsa dengan menolak motosikalnya secara bersendirian bagi meminta bantuan daripada enam rakan sekerja berdekatan masjid itu.
“Mangsa bersama rakannya itu kemudiannya ke masjid tersebut sebelum suspek menyerahkan kunci motosikal itu semula dan meminta maaf.
“Remaja lelaki yang cedera itu telah menerima enam jahitan selepas dirawat di Hospital Tanjong Karang,” katanya.
Jelas Md. Asri, pihaknya telah berjaya merampas batang besi digunakan semasa kejadian dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan pihaknya.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil tindakan undang-undang sendiri dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE











