Dewan Rakyat: Usul serangan pengganas di Christchurch dibahas hari ini - Utusan Malaysia

Dewan Rakyat: Usul serangan pengganas di Christchurch dibahas hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Mac – Dewan Rakyat hari ini memutuskan untuk membahaskan usul serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand.

ANWAR IBRAHIM
ANWAR IBRAHIM 

Usul itu dicadangkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof menjelaskan usul tergempar itu diterima kerana memenuhi tiga syarat iaitu perkara itu tertentu, bagi kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, Mohamad Ariff memutuskan supaya usul berkenaan dibahaskan pada pukul 4.30 petang ini.

Anwar ketika mencadangkan usul berkenaan berkata, serangan tersebut tiada tujuan lain melainkan untuk menanam kebencian dan mendorongkan keganasan di serata dunia.

Katanya, pelaku keganasan tersebut cuba mendorong orang-orang Islam untuk melakukan serangan balas.

“Di samping itu, mereka cuba menimbulkan ketakutan dan syak wasangka buruk di kalangan penganut bukan Islam terhadap orang-orang Islam. Tragedi ini ternyata amat mengerikan lagi keji dan suatu tindakan pengecut.

“Warga dunia yang cintakan keamanan termasuk di Malaysia, harus menyatakan sikap dan mengecam keganasan ini. Kita tidak harus membenarkan sesiapa jua untuk merosakkan kerukunan yang telah terbina atau menanam rasa takut antara satu sama lain,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Anwar juga mengusulkan Parlimen supaya menzahirkan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka akibat keganasan tersebut.

Beliau juga mengusulkan Parlimen merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan New Zealand di bawah kepemimpinan Perdana Menterinya, Jacinda Ardern atas tindakan tegas dan segera dalam merungkai tragedi keganasan ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini