KUALA LUMPUR 13 Mac – Tindakan pengusiran terhadap enam warga Mesir dan seorang warga Tunisia yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas, 5 Mac lalu, disegerakan bagi memastikan rangkaian kumpulan berkenaan dapat disekat daripada bertapak di negara ini.
Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagi mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa polis tidak merujuk kepada pemimpin tertinggi negara berhubung tindakan pengusiran itu.
Menurutnya, berkemungkinan wujud masalah teknikal mengenai pemberitahuan, namun tindakan berkenaan dibuat setelah pihaknya menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara.
“Kita terima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya berkaitan pengusiran tersebut jadi bila terima arahan, kita perlu segerakan bagi menyekat rangkaian mereka di negara ini.
“Pengusiran itu juga dibuat setelah berbincang dan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen. Pada masa akan datang kita akan laporkan dahulu termasuk perancangan operasi sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Jabatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, yang sebelum ini digalas oleh Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. kepada timbalannya, Datuk Huzir Mohamed sebagai pemangku di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Mohamad Fuzi memaklumkan, tindakan pengusiran warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan itu juga menunjukkan pihaknya tidak berkompromi dalam isu keselamatan negara.











