Caj tambang warga asing guna Smart Selangor - Utusan Malaysia

Caj tambang warga asing guna Smart Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN 13 Mac – Kerajaan Negeri Selangor belum memutuskan untuk mengenakan caj tambang kepada warga asing yang mengunakan kemudahan Bas Smart Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pe­ngangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, tempoh pelaksanaannya juga belum ditetapkan dan masih di peringkat cadangan.

Menurutnya, banyak aspek perlu dipertimbangkan sebelum pelaksanan termasuk kadar harga dan kaedah pembayaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cadangan mengenakan caj tambang dibuat selepas mengambil kira banyak aduan diterima daripada orang ramai mengenai warga asing yang mengambil kesempatan menggunakan perkhidmatan percuma itu.

“Hasil kajian ini akan diketahui dan diumumkan selewat-lewatnya tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan laluan baharu SJ05 bagi perkhidmatan Bas Smart Selangor di sini.

Laluan bas itu meliputi beberapa kawasan seperti Taman Pinggiran Putra, Taman Equine, Taman Universiti, Taman Bukit Serdang, Kampung Seri Kembangan dan Taman Serdang Jaya sejauh 27.44 kilometer dengan kekerapan masa perjalanan selama 25 hingga 35 minit.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, rakyat tempatan dan warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas itu akan dikenalpasti melalui kad pengenalan atau pasport bagi membolehkan caj dikenakan kepada mereka.

“Tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kemudahan ini juga perlu dipertingkat bagi memastikan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri mencapai matlamat,” katanya.

Menerangkan lebih lanjut kemudahan yang disediakan beliau berkata, kira-kira RM4.3 juta daripada RM6.2 juta yang diperuntukan untuk kemudahan ini dibiayai oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini