WELLINGTON – Satu rakaman video menunjukkan seekor burung kakak tua sedang bergurau dengan seekor kucing yang kelihatan seperti mahu menerkam haiwan itu di sebalik cermin tingkap di sebuah rumah di New Zealand baru-baru ini.
Aksi yang mencuit hati itu dilakukan burung kakak tua bernama Oscar berusia dua tahun ketika seekor kucing peliharaan seorang jiran datang ke pekarangan rumah pemilik haiwan itu di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.
Oscar dilihat berulang kali ‘mempermainkan’ kucing tersebut dengan menyorok dan muncul semula beberapa kali sebalik tingkap. Kucing jantan itu pula kelihatan terpaku dengan gelagat berani Oscar. Malah, ia dilihat mahu menerkam burung tersebut.
Kucing itu memerhatikan Oscar dengan penuh perhatian, mendongak dan menunduk seakan-akan bersedia untuk menangkap burung tersebut sebaik sahaja mendapat peluang.
Oscar adalah seekor burung kakak tua yang bijak dan menikmati ‘permainan’ itu. – Agensi











