Buruh binaan didakwa sebabkan kematian rakan 18 tahun lalu - Utusan Malaysia

Buruh binaan didakwa sebabkan kematian rakan 18 tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang buruh binaan warga Indonesia bakal berhadapan dengan hukuman penjara selama 30 tahun selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan senegaranya di tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di Seri Iskandar dekat sini 18 tahun lalu.

Tertuduh, Niwar Ali, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pemegang kad pemastautin tetap (PR) itu didakwa menyebabkan kematian Rebin Sumadi Suwoko, 32, di hadapan kedai runcit di tapak projek Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Seri Iskandar pada pukul 1.25 pagi 14 April 2001.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sally Chay Mei Ling manakala tertuduh diwakili peguam K. Nahtan. Pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan dia adalah warga Indonesia serta tidak mempunyai keluarga di negara ini. 

Nahtan dalam rayuan terhadap anak guamnya memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan peruntukan membenarkan dia diikat jamin selain abang tertuduh yang merupakan pemegang kad PR turut hadir ke mahkamah.

Azman bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan mahkamah menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Kosmo! pada 27 Februari lalu melaporkan, sepasang suami isteri warga Indonesia ditahan polis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di tapak projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah 18 tahun lalu. 

Suspek yang berusia 50 tahun dan isterinya berumur 49 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Sungai Dusun, Hulu Selangor, Selangor pada pukul 8.45 malam.

Dalam kejadian itu, mayat mangsa yang merupakan warga Indonesia itu ditemui dengan beberapa kesan tetakan senjata tajam di kanan leher, belakang pinggang dan kakinya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini