KUALA LUMPUR 28 Mac – Berita gembira buat pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) apabila Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) bagi mengurangkan beban kewangan yang dihadapi akan dibayar secara berperingkat bermula hari ini.
Perkara itu disahkan Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan yang turut memberitahu bantuan bernilai RM100 itu dijangka memanfaatkan seramai 1.2 juta pelajar dengan peruntukan berjumlah RM120 juta dan akan disalurkan menggunakan Kad Diskaun Siswa dari Bank Rakyat.
Jelas kenyataan itu, pelajar yang memenuhi kriteria boleh membuat semakan status kelayakan melalui portal Bank Rakyat bermula hari ini di pautan http://www.bankrakyat.com.my/bppt.
“Bagi pelajar yang telah mempunyai Kad Diskaun Siswa Bank Rakyat, bantuan akan mula dikreditkan hari ini secara berperingkat manakala bagi pelajar yang belum memilikinya, permohonan baharu boleh dibuat melalui portal Bank Rakyat mulai 1 April ini.
“Tarikh tutup permohonan BPPT adalah pada 31 Mei 2019 manakala tarikh akhir pengambilan Kad Diskaun Siswa dari Bank Rakyat pada 31 Julai 2019,” kata kenyataan itu hari ini.
BPPT merupakan skim baharu yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi mengurangkan beban kewangan mahasiswa menggantikan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M). – UTUSAN ONLINE











