RANCANGAN UMNO-Pas untuk memakai satu logo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang bagi Awang tidak ada salahnya. Asalkan tidak melanggar hukum Islam.
Sebelum ini pun Pas pernah menjalankan tahaluf siyasi dengan DAP dalam beberapa siri pilihan raya sebelum PRU-14. Namun tidak diteruskan setelah DAP tidak menghormati prinsip serta dasar perjuangan Islam yang diperjuangkan Pas.
Awang percaya, keakraban kerjasama UMNO-Pas khususnya yang terserlah semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan diperkukuhkan lagi dalam PRK Semenyih sedikit sebanyak menyebabkan MCA dan MIC kecil hati.
Pada masa sama tidak nampak ‘penangan’ MCA di pusat-pusat daerah mengundi yang dikuasai bukan Melayu terutama di Semenyih, waima satu pun berpihak kepada calon UMNO, Zakaria Hanafi
MIC pula kelihatan masih teraba-raba memulihkan parti. Awang yakin MCA dan MIC mampu bertindak matang dalam memastikan survival Barisan Nasional (BN) yang menempuh liku-liku pahit manis yang bukan alang kepalang cabarannya
Duduk dan berbincanglah dengan UMNO. Kalah sekali dalam PRU-14 bukan bermakna gagal selamanya. Contohilah daya tahan lasak DAP dan PKR yang berjuang puluhan tahun lamanya sebelum baru sekarang merasai nikmatnya.
AWANG – Berterus terang biarpun pahit.











