KUALA LUMPUR 1 Mac. – Bagi masyarakat negara ini, sambal boleh diumpamakan sebagai hidangan ‘wajib’ yang menambah selera pada sajian seperti nasi dan sup.
Namun jarang sekali kita lihat piring-piring berisi sambal pelbagai aneka dihidang sehingga memenuhi meja. Bagi yang tidak biasa, sudah pasti rambang mata.
Bagi yang ingin mencuba, sajian 22 sambal yang dihidang bersama ‘Nasi Bergaduh’ di Tempat Makan Lesehan di Seri Kembangan, Selangor pasti menjanjikan kepuasan.
Pemiliknya, Nurul Hana Mohamed Nasir, 35, berkata, dia mendapat ilham untuk menyediakan pelbagai jenis sambal apabila abangnya yang juga pemilik bersama, Kamarul Anuar berkunjung ke Yogjakarta, Indonesia dan mendapati setiap restoran di sana menjual aneka sambal.
“Di sana cili sangat mudah didapati dan dijual dengan murah kerana mempunyai tanah yang subur. Jadi, tidak hairanlah setiap restoran di Yongjakarta boleh menjual sambal dengan pelbagai jenis citarasa.
“Memandangkan tiada lagi restoran yang memperkenalkan hidangan seperti itu di sini maka tercetus idea untuk membuka restoran ini pada Mac tahun lalu,” katanya.
Ujarnya, 22 jenis sambal menggunakan cili segar ini perlu dirasa sendiri oleh pelanggan antaranya sambal tubruk (asli Yogja) iaitu campuran nenas dan tomato yang mendapat permintaan paling tinggi, sambal kedondong, tempe, udang, mangga, sotong dan pelbagai lagi dengan harga yang ditawarkan antara RM3 dan RM8.
Ditanya mengenai kaitan Nasi Bergaduh dengan sambal, Nurul Hana berkata, dia cuba mencipta kelainan nama menu bagi hidangan ayam dan daging dengan sambal belado dan penyet yang dihidangkan bersama-sama dalam sepinggan yang juga mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan dengan harga RM13.90.
Tambahnya, walaupun men- gambil khidmat tukang masak dari negara seberang dan boleh memasak sama seperti di sana namun mereka mengambil pendekatan untuk mengurangkan manis, minyak dan tahap kepedasan yang mana pelanggan juga boleh membuat permintaan untuk menambah atau mengurangkan pedas.
Sebagaimana mengambil konsep aneka sambal dari Yogjakarta, Nurul Hana berkata, dia juga membawa konsep lesehan (bersila) kerana penduduk di sana menjamu selera di gerai tepi jalan sambil bersila.
“Bukan itu sahaja, alas meja kami gunakan helaian surat khabar yang dibeli di Indonesia,” katanya.
Menurut Nurul Hana, selain sambal dan Nasi Bergaduh, restorannya turut menawarkan Nasi Goreng Gila yang mempunyai banyak lauk, Nasi Berdendang, bakso, set penyet, set belado, set bakar, pecal, gado-gado, Indo mi dan pelbagai lagi masakan Indonesia.
INFO
• Waktu operasi: Pukul 12 tengah hari hingga 11 malam setiap hari
• Alamat: Kinrara Uptown, Jalan LP 7/2, Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor
• Waktu operasi: Pukul 12 tengah hari hingga 11 malam setiap hari
• Alamat: Kinrara Uptown, Jalan LP 7/2, Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor











