LANDSKAP politik Malaysia kini sedang mengalami perubahan besar selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 pada 9 Mei tahun lepas. Oleh itu, Sarawak juga tidak ‘tertepis tempias’ akibat perubahan ini sekali gus memberi kesan kepada perencanaan politik di negeri itu.
Maka kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak dalam Pakatan Harapan (PH) Sarawak pada 1 Disember lepas sudah tentu memeriahkan lagi suhu politik Negeri Kenyalang ini.
Apatah lagi ia umpama saling lengkap melengkapi bagi PH Sarawak dengan empat parti gabungannya terdiri daripada Bersatu, DAP, PKR, dan Amanah. Ini sama kedudukannya dengan di Semenanjung.
Apabila menyentuh politik Sarawak maka tidak boleh tidak, ia perlu menyentuh dari sudut kekuatan kerajaan negeri sekarang yang dianggotai empat parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Apatah lagi dengan kedudukan parti besar dan kukuh seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), memang kalau diukur dari segi kekuatan sebagai parti pemerintah sejak sekian lama mungkin dilihat kalah awal.
Menurut Setiausaha Interim Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian, hakikatnya politik Sarawak tidak seribut dan sehangat seperti di Semenanjung tetapi rakyatnya sangat dahagakan perubahan.
Adalah penting bagi PH untuk memandu perubahan itu demi kelangsungan rakyat negeri ini yang turut sama terhimpit akibat kos hidup yang semakin meningkat dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Tambahan pula GPS menguasai hampir seluruh kekuatan agensi di bawah kerajaan negeri. Keadaan mereka sama seperti di Semenanjung semasa kerajaan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini,” katanya.
Namun kejayaan besar Bersatu Sarawak walaupun baharu adalah keupayaan menarik ahli yang ramai.
Sehingga kini jumlah keahlian Bersatu di negeri itu hampir mencecah 20,000 orang dan angka ini bakal meningkat saban hari berdasarkan pertemuan dengan orang ramai.
Dalam soal penubuhan bahagian-bahagian Bersatu di negeri itu, ujar Jaziri Alkaf lagi, sebanyak 12 bahagian kini sudah menghantar borang kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) dan pihak Bersatu menjangkakan sebanyak 21 bahagian lagi akan didaftar secara berperingkat-peringkat.
Namun katanya, suasana politik kini sudah berubah dan rakyat Sarawak kini mahu melihat perubahan yang sama berlaku kerana tidak mahu ketinggalan dalam reformasi yang kini dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bagi beliau rakyat Sarawak juga mahu reformasi dalam soal integriti dan penghapusan rasuah menjadi agenda utama dalam memacu perubahan di negeri ini.
“Paling penting proses reformasi yang mahu dilaksanakan di Sarawak akan hanya melibatkan rakyat negeri ini sahaja dan tidak perlu tunduk kepada Putrajaya. Rakyat Sarawak sendiri perlu main peranan secara langsung dan aktif dengan Kerajaan Pusat dalam memperjuang hak-hak Sarawak dan juga isu MA63.
“Secara dasarnya kita perlu bersetuju berpolitik secara matang kerana apa yang menjadi kepentingan adalah rakyat negeri Sarawak. Tetapi fokus sekarang adalah untuk memastikan PH menang pada pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka pada 2021. Itu sesuatu yang tidak boleh di kompromi,” ujarnya lagi.
Kata Jaziri Alkaf, perubahan perlu dilakukan terutama dalam menambah baik tadbir urus dan pentadbiran politik di negeri ini supaya rakyat mempunyai pilihan untuk terlibat sendiri dalam melakukan perubahan.
“Dalam hal ini kita perlu jelas, mana yang baik kita teruskan tetapi yang mana perlu tambah baik untuk kebaikan masyarakat kita akan utamakan dan penuhi.
“Ini kerana politik Bersatu di Sarawak adalah demi rakyat negeri ini dan kami perlu memahami keresahan rakyat selain menyantuni mereka sebaik mungkin. Kita tidak mahu sesiapa pun tertinggal dalam perubahan dan pembaharuan yang mahu di bawa Bersatu dan PH ke negeri ini,” katanya lagi.
Selain itu, ujarnya, Bersatu juga tidak mahu manifesto PH Sarawak dalam PRN nanti terlalu berjanji bulan dan bintang yang akhirnya akan hanya menyusahkan diri serta komponen lain jika tidak mampu dipenuhi.
“Soal janji manifesto ini sesuatu yang PH perlu pelajari terutama selepas PRU lalu dan janganlah diulangi.
“Fokus kepada isu sosioekonomi dan keperluan rakyat. Buat kajian dan pertemuan secara menyeluruh, kalau boleh seluruh kawasan di Sarawak kita masuk dan fahami denyut nadi rakyat yang mahu kita mendengar rintihan mereka.
“Ramai yang masih memerlukan bantuan dan kita perlu cuba sebaik mungkin membantu memudahkan urusan dan kelangsungan hidup mereka terutama mereka yang miskin bandar dan warga luar bandar.
“Selain itu kualiti pendidikan di Sarawak juga akan ditingkatkan kerana kita tidak mahu anak-anak Sarawak terus tertinggal berbanding Semenanjung,” katanya lagi.
Dalam menjayakan penubuhan Bersatu Sarawak hingga kukuh dan dihormati dalam tempoh singkat seperti sekarang, orang yang paling banyak menyumbang keringat adalah Penyelaras Bersatu Sarawak sendiri, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.
Beliau adalah orang yang banyak berkorban dan bersengkang mata setiap minggu bagi memastikan agenda parti Bersatu di Sarawak menjadi kenyataan.
Antara kejayaan besar Mohd. Redzuan dalam menjayakan misi di Sarawak adalah dalam soal keahlian dan pentadbiran parti yang kini menjadi batu asas untuk memastikan Bersatu dan sekutunya dalam PH menang PRN dan membentuk kerajaan tanpa sebarang masalah.
Walaupun sibuk dengan urusan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan, usaha keras beliau bersama kepemimpinan Bersatu Sarawak serta komponen PH lain dilihat mampu menggugat kerajaan negeri.
Bagi Mohd. Redzuan, isu Bersatu di Sarawak adalah jelas. Bersatu akan fokus memperjuangkan hak rakyat di negeri ini meskipun ia berasal dari Semenanjung Malaysia. Sekarang ini Bersatu hanya membincangkan perancangan masa depan dan strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Hakikatnya masing-masing menawarkan pendekatan dan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan ia terpulang kepada penerimaan rakyat. Namun sudah tentu ada perbezaan pendapat dan perkara yang perlu diselesaikan sebelum PRN berlangsung.
“Fokus utama kita adalah untuk menang dan menubuh kerajaan, maka penyatuan dan pengukuhan sesama parti komponen PH perlu diperkasa kerana rakyat Sarawak kini semakin bijak dalam menilai yang mana baik untuk mereka.
“Sekarang kita dalam PH hanya membincangkan tentang perancangan masa depan dan strategi untuk menghadapi pilihan raya.
“Apa yang penting, kerjasama antara semua parti sebagai satu pasukan amat diperlukan bagi memastikan kemenangan pada PRN kelak,” kata Mohd Redzuan lagi.
Apabila ditanya siapa yang bakal menduduki kerusi panas Pengerusi Bersatu Sarawak, Mohd. Redzuan sambil tersenyum berkata ia akan diputuskan Dr. Mahathir dalam tempoh terdekat. Dan calon terpilih adalah orang negeri itu yang amat rapat dengan rakyat Sarawak.











