LANGKAH beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pada Kejohanan Badminton Seluruh England (All England) tersekat di separuh akhir selepas tewas 16-21, 13-21 kepada wakil Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino malam tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Birmingham itu, kedua-dua beregu menampilkan aksi menghiburkan apabila saling mengejar mata seawal set pertama, namun kelebihan menjadi milik pasangan Jepun tersebut yang lebih banyak mendominasi perlawanan.
Meskipun berjaya mengejar kedudukan 16-17, namun fokus yang ditunjukkan Watanabe-Higashino yang juga pilihan ketiga kejohanan gagal ditandingi Soon Huat-Shevon Lai apabila terpaksa akur dengan kekalahan 16-21.
Bersambung set kedua, beregu No. 2 Malaysia itu cuba melakukan kebangkitan apabila mendahului mata 9-5, namun masih tetap gagal menghalang Watanabe-Higashino daripada mengejar dan menyamakan kedudukan 10-10.
Sebaik sahaja beregu Jepun menyamakan kedudukan, aksi Soon Huat-Shevon Lai dilihat serba tidak menjadi apabila membenarkan lawan mereka menjarakkan diri serta selesa berada di depan dengan 17-11.
Soon Huat-Shevon Lai yang menyingkirkan beregu No. 2 dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping di peringkat suku akhir kelmarin cuba mengejar kedudukan apabila mengutip dua mata untuk mengekori 13-17, namun gandingan Jepun itu kembali memperkemaskan permainan sebelum menang 21-13.
Walaupun gagal melangkah ke perlawanan akhir, namun pencapaian beregu No. 14 dunia itu wajar diberi pujian apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat beregu terbaik biarpun tidak diletakkan sebarang harapan pada awal kejohanan.
Selain itu, kedua-dua pemain itu juga turut mengalami kecederaan apabila Shevon tercedera buku lali kiri pada pusingan kedua, sementara Soon Huat terseliuh bahu ketika beraksi di suku akhir.











