MELAKA – Seorang bekas Penolong Pegawai Tadbir Unit Penswastaan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah lebih RM300,000 sejak empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Nada Aimi A. Rahman, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja sembilan pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail dan Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan satu hingga enam yang dibacakan dihadapan Norma, tertuduh didakwa telah dengan curangnya telah melakukan pecah amanah sebanyak RM308,987 bagi kegunaan sendiri di bangunan MPHTJ, Kompleks Melaka Mall di sini antara tahun 2015 sehingga 2018.
Sementara itu, di hadapan Elesabet, tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan nilai RM18, 857.50 di tempat dan tempoh sama di dalam pertuduhan tujuh hingga sembilan, menjadikan nilai keseluruhan pecah amanah sebanyak RM327,844.50.
Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd. Yunos dan Lee Wai Yi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Norma kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi keenam-enam pertuduhan dan Elesabet turut membenarkan jumlah sama bagi pertuduhan tujuh hingga sembilan.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 April depan sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE











