GEORGE TOWN – Kapasiti bekalan air di negeri ini menunjukkan penurunan mendadak apabila dua punca utama bekalan air terus berkurangan berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, Empangan Air Itam di sini telah menurun sebanyak 31.8 peratus dalam tempoh kira-kira dua bulan.
“Bacaan kapasiti efektif empangan itu yang dicatatkan semalam ialah 60.4 peratus berbanding 92.2 peratus pada 1 Januari lalu.
“Jumlah simpanan air mentah empangan berkenaan dijangka hanya mampu bertahan 59 hari lagi sekiranya tidak hujan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Empangan Air Itam membekalkan air kepada pengguna di sekitar kawasan Air Itam di sini.
Sementara itu, Jaseni berkata, Sungai Muda, Kedah yang membekalkan air mentah utama ke negeri ini turut menurun dengan ketara apabila hanya mencatatkan bacaan 1.55 meter (m) semalam berbanding 2.35 m pada 1 Januari lalu.
Sungai Muda membekalkan air mentah ke kawasan Seberang Perai serta daerah Barat Daya dan Balik Pulau di kawasan pulau – K! ONLINE











