KUALA LUMPUR 13 Mac – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) melancarkan Dana Pembiayaan Pembangunan Mapan (SDFF) bernilai RM1 bilion bagi memberi insentif kepada lebih banyak syarikat untuk melakukan amalan kemapanan di dalam strategi perniagaan dan operasi.
Pengerusinya, Datuk Zaiton Mohd. Hassan, berkata, dana itu bertujuan menyokong Agenda 2030 pembangunan mapan serta 17 Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).
Katanya, di bawah dana tersebut, BPMB akan menyediakan pembiayaan pada kadar subsidi sebanyak dua peratus kepada syarikat yang menunjukkan sumbangan berterusan terhadap 17 SDG.
“SDFF adalah satu daripada tiga dana berasingan bernilai RM4.5 bilion di bawah Kementerian Kewangan yang memberi mandat kepada BPMB untuk menguruskannya di bawah Belanjawan 2019,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran SDFF di sini hari ini.
SDFF dilancarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. – UTUSAN ONLINE











