REMBAU 31 Mac – Baju ‘Malu Apa Bossku’ yang laris semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Februari lalu sudah mula dijual di Rantau di sini.
Seorang peniaga pakaian, Ali Nasution, 20, berkata, dia berharap jualan baju yang cuma berharga RM5 sehelai itu dapat menyamai jualan dicatatkan di Semenyih.
“Buat masa ini saya dapat jual lebih 100 helai sehari mungkin kerana kempen PRK DUN Rantau baru bermula semalam. Semasa di Semenyih kami pernah catat jualan 2,000 helai hanya dalam tempoh dua jam.
“Saya jual baju bersama adik-beradik saya. Kami buka tiga gerai jualan sempena PRK DUN Rantau,” katanya ketika ditemui berhampiran Dataran Rantau di sini hari ini.
Slogan ‘Malu Apa Bossku’ mula menjadi sebutan ramai selepas video pendek yang tular dalam Facebook menampilkan seorang pemuda merakam video bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN ONLINE











