SEREMBAN 13 Mac – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) sedia berkongsi pengalaman bagi membantu menubuhkan kira-kira 2,000 koperasi di Arab Saudi.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ini berikutan peluang yang ditawarkan oleh Majlis Koperasi Arab Saudi kepada koperasi dari negara-negara Islam semasa Mesyuarat Negara-Negara Timur Tengah dan Afrika Utara di Maghribi baru-baru ini.
Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi telah menyediakan peruntukan berjumlah RM13 bilion untuk mewujudkan koperasi di semua kawasan di negara berkenaan bagi menjana pendapatan rakyatnya.
“Kita sedia membantu mempromosi dan mengembangkan gerakan koperasi di negara itu. Ini juga membuka peluang kepada koperasi-koperasi di Malaysia untuk meneroka potensi perniagaan terutama dalam bidang pelancongan serta haji dan umrah.
“Pada masa ini koperasi di Arab Saudi masih baharu. Angkasa mempunyai nama dan pengaruh serta keyakinan untuk membantu negara tersebut. Kita akan mengatur pertemuan dengan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Angkasa Negeri Sembilan di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Fattah berkata, sehingga 30 Jun tahun lalu, terdapat 14,094 koperasi berdaftar di seluruh negara yang melibatkan keahlian seramai 6.5 juta orang dengan jumlah perolehan sebanyak RM40.29 billion.
“Kita menyasarkan sebanyak 16,000 koperasi pada 2020 dengan perolehan berjumlah RM55 billion seperti yang disasarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof baru-baru ini.
“Ini merupakan cabaran yang perlu dicapai Angkasa dalam tempoh kira-kira dua tahun lagi dan kita perlu melibatkan diri dalam perniagaan berimpak tinggi bagi mencapai sasaran itu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











